Selasa, 23 Ogos 2011

Utusan Malaysia Online - Ekonomi

Utusan Malaysia Online - Ekonomi


Felcra terokai pembangunan hartanah





KUALA LUMPUR 22 Ogos - Felcra Bhd. (Felcra) akan menceburi sektor pembangunan hartanah bagi mengurangkan kebergantungan dalam sektor perladangan pada tahun hadapan.

Ketika ini Felcra bergantung sepenuhnya kepada pengurusan ladang komoditi kelapa sawit dan getah sahaja.
Pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, Felcra menyasar bahagian pembangunan hartanah menyumbang antara 10 hingga 20 peratus kepada perolehan syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang.
''Felcra perlu melakukan transformasi daripada sekarang kerana bergantung sepenuhnya kepada komoditi memberi risiko yang besar kepada syarikat.

''Jumlah tanah untuk dijadikan ladang semakin mengecil dan hampir tiada di Semenanjung. Oleh itu, penubuhan bahagian perniagaan baharu mampu menjana sumber keuntungan baharu kepada syarikat.
''Felcra mempunyai beberapa tanah berpotensi untuk dimajukan seperti di Jalan Semarak di Kuala Lumpur dan di Pulau Langkawi. Bahagian pembangunan hartanah akan diterajui oleh anak syarikat Felcra iaitu, Felcra Properties Sdn. Bhd.,'' katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Felcra, di sini hari ini.

Tajuddin berkata, Felcra akan membangunkan tanah miliknya seluas 17,256 meter persegi di Jalan Semarak untuk membina sebuah menara ibu pejabat setinggi 40 tingkat, bangunan konvensyen, pangsapuri dan tempat letak kereta.

''Nilai pembangunan kasar (GDP) projek berkenaan dianggarkan bernilai RM1 bilion dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun,'' jelasnya.

Selain itu, Felcra turut mengumumkan perancangan baharu iaitu menubuhkan tabung dana pelaburan, penubuhan kolej dan juga pembinaan 1,500 buah rumah baharu untuk generasi kedua.

Tabung tersebut akan menjadi sumber pendapatan jangka panjang peserta Felcra dan ia akan digunakan untuk mengembangkan bahagian pembangunan hartanah.

Katanya lagi, bagi mengatasi masalah kekurangan tanah perladangan di Malaysia, Felcra akan cuba mencari tanah baharu di Kemboja dan proses menilai telah berjalan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi kewangan Felcra, beliau berkata, sehingga Jun 2011, syarikat berkenaan mencatat pendapatan sebanyak RM995.44 juta dengan keuntungan bersih RM710.38 juta.

''Daripada jumlah keuntungan tersebut, sebanyak RM224.48 juta akan diagihkan kepada peserta pada minggu hadapan, meningkat sebanyak 21.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

''Dianggarkan secara purata peserta akan menerima RM3,000 setiap seorang,'' ujarnya.
Tambah beliau, Felcra menjangkakan bagi keseluruhan tahun 2011, syarikat menjana perolehan sebanyak RM1.83 bilion, meningkat 22.82 peratus berbanding tahun lalu

Tajuddin Abdul Rahman (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Juzilman Basir (tengah) bersama Ahli Lembaga Pengarah Felcra meninjau model Menara Felcra yang baharu di Kuala Lumpur, semalam.

0 ulasan:

Catat Ulasan