Selasa, 24 Mei 2011

FELCRA Berhad sumbang RM125,000.00 untuk mangsa tragedi tanah runtuh Hulu Langat

KAMPONG GAJAH 23 Mei - Felcra Berhad mengumumkan sumbangan sebanyak RM125,000 kepada mangsa tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Selangor.

Pengerusinya, Datuk Tajudin Abd. Rahman berkata, bantuan sebanyak RM5,000 bagi setiap mangsa itu diberi atas dasar prihatin badan tersebut terhadap nasib yang menimpa kesemua mangsa.
Menurut beliau, pihaknya juga bersedia membantu membina semula rumah anak-anak yatim terbabit sekiranya terdapat tapak bersesuaian.

"Kita harap dapat membantu mereka membina semula rumah tersebut, tetapi dengan syarat bukan di tapak yang sama kerana bimbang tragedi berulang," katanya.Beliau berkata demikian selepas majlis penutup program Semarak Belia Satu Malaysia di dewan serbaguna Felcra Berhad, Seberang Perak Changkat Lada, Kampong Gajah, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 2.30 petang kelmarin, seramai 16 penghuni serta warden rumah anak yatim tersebut maut akibat tertimbus tanah runtuh.Tajudin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak juga menasihati pemilik-pemilik rumah anak yatim dan rumah kebajikan orang tua agar mendaftarkan persatuan mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Melalui pendaftaran tersebut, ia akan membantu JKM menyalurkan bantuan segera sekiranya terdapat perkara yang tidak diingini berlaku.
"Saya juga ingin menasihatkan pemilik-pemilik ini agar jangan bina rumah-rumah kebajikan di kawasan lereng bukit dan sungai kerana ia mengundang bahaya kepada penghuni," katanya



Sumber daripada Utusan Malaysia Online-Dalam Negeri, 23 Mei 2011

0 ulasan:

Catat Ulasan